Keupayaan Pengarah Syarikat Genius Factor Sdn. Bhd., Mohd. Suarjohani Suraidi menerokai bidang yang jarang diceburi rakyat negara ini mendapat pengiktirafan kerajaan dengan dianugerahkan Tokoh Harapan Generasi Baharu Felda Anugerah Belia Felda Malaysia (ABFM) 2014.

Menurut Mohd. Suarjohani Suraidi, cita-citanya menjadi seorang usahawan bermula beberapa tahun lalu selepas pertama kali terlibat dengan bidang perniagaan percetakan kecil-kecilan sebelum menceburi bidang telekomunikasi.

Beliau berkata, pengalamannya bekerja selama 15 tahun di pelbagai kilang elektronik dan pemasangan telefon bimbit menjadi titik tolak kepadanya untuk memiliki jenama telefon sendiri.

“Selepas terlibat dalam perniagaan percetakan, saya beralih perniagaan secara kecil-kecilan dalam bidang elektronik dan pemasangan telefon bimbit di sebuah kilang di Felda Tenggaroh Dua, Mersing.

“Dengan pengalaman yang diperoleh, saya akhirnya berjaya mencipta telefon pintar jenama GFon yang setanding dengan jenama terkenal lain tetapi ditawarkan dengan harga mampu milik dan lebih murah berbanding jenama import lain,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia selepas majlis Himpunan Ikatan Hati Warga Felda (Iktiraf) 2014 di sini hari ini.

Mohd. Suarjohani berkata, telefon pintar itu akan mula memasuki pasaran tempatan pada pertengahan bulan hadapan dan buat permulaan pihaknya menyasarkan untuk menjual sebanyak 50,000 unit telefon model Zizo 10 dan Zizo 5.

Katanya, kedua-dua model tersebut yang setanding jenama terkenal antarabangsa akan dijual pada harga di bawah RM1,000.

“Impian saya adalah untuk membawa jenama tempatan terutama Felda ke peringkat antarabangsa dan pada masa sama, menyediakan peluang pekerjaan kepada anak muda tempatan berkhidmat di tempat sendiri tanpa perlu merantau,” katanya.