Kekurangan (Pekak Dan Bisu), Bukan Penghalang Buat Khairul Bantu Ibu Lumpuh Dengan Berniaga
Atas rasa tanggungjawap untuk menyara keluarganya, seorang anak muda kelainan upaya memulakan usaha perniagaan ‘lunchbox’nya yang dimasak daripada rumah kira-kira dua bulan yang lalu.
Hairul Anwar Bidi, 24, seorang yang bercita-cita menjadi seorang usahawan memulakan perniagaan ini menggunakan resepi ibunya yang sebelum ini pernah mengusahakan sebuah restoran.
Akan tetapi perniagaan berkenaan terpaksa ditutup kerana ibunya, Latifah Hanum Md Dahlan, 62, telah diserang angin ahmar dan kegagalan buah pinggang yang menyebabkan kelumpuhan.
Atas sebab itu, Hairul makin bersemangat untuk memulakan perniagaan ‘lunch box‘ ini dengan beroperasi selama lima hari seminggu dan penghantaran dibuat sekitar Lembah Klang terutamanya Cheras kerana berdekatan dengan rumahnya.
Hairul menggunakan sepenuhnya aplikasi Whatsapp dan SMS untuk berhubung dengan pelanggannya kerana beliau dilahirkan pekak dan bisu. Namun begitu, Hairul tidak melihat itu sebagai suatu kekurangan buatnya dan sentiasa bersemangat untuk mencapai cita-citanya.
Antara menu yang sering menjadi pilihan pelanggannya adalah, set nasi putih bersama rendang ayam dan taugeh goreng kicap dengan harga RM6.00. Pelanggannya juga mempunyai pilihan menu yang terdiri daripada asam pedas ikan kembong berserta ulam-ulaman dan beberapa set yang lain.
“Ketika ini majoriti pelanggan saya adalah pekerja pejabat dan mereka tidak sempat memasak di rumah. Setakat ini tempahan diterima sangat menggalakkan apabila jumlah tempahan diterima meningkat dari sehari ke sehari” ujar Hairul menerusi Whatsapp kepada BH PLUS.
Purata pesanan yang diterimanya buat masa sekarang adalah antara 30 hingga 50 pek, biasanya beliau akan berhubung dengan pelanggannya dan urusan penghantaran akan dibantu oleh beberapa rakannya.
Bagi memastikan bahan yang digunakan dalam masakannya berkualiti, setiap hari sebelum 4 pagi Hairul akan ke pasar untuk membeli bahan yang diperlukan dan seterusnya memasak menu pada hari tersebut.
INFO TAMBAHAN
* Set Nasi Putih+Rendang Ayam+Taugeh Goreng Kicap RM6.00
* Set Nasi Putih+Asam Pedas Ikan Kembung+Ulam ulaman RM6.00
* Tempahan minimum sebanyak 4 set (tiada caj penghantaran)
* Tempahan boleh dibuat melalui Whatsapp 016 2453019 (Hairul)
SUMBER DAN GAMBAR: BH PLUS