Pun begitu, soal isu halal dan bekalan yang sukar diperoleh sering menjadi antara punca ramai yang berasa ragu untuk menikmati hidangan asli Korea, seperti makanan tradisinya, kimchi (sejenis sayuran masin yang diperap menggunakan ramuan khas) dan pelbagai jenis sup yang menggunakan ramuan sering dicampur dengan sumber tidak halal.

Alasan itu juga membuatkan pasangan suami isteri, Nur Faizah Md. Salleh, 34, dan Mohd. Muzamir Mustaffa, 34, sejak tiga tahun lalu mengusahakan pembuatan kimchi serta beberapa ramuan lain seperti kochukaru (serbuk cili kering), gochujang (pes cili kering) dan tteok (kek beras).

Kesemuanya merupakan ramuan atau makanan asas bagi masyarakat Korea.

Nur Faizah sendiri pernah menuntut di Korea selama lapan tahun dalam jurusan kejuruteraan komunikasi tanpa wayar di Universiti Donyang Mirae dan menyambung ijazah sarjana muda kejuruteraan elektrik.

Peluang tinggal di negara itu serta mempunyai ibu angkat yang pandai memasak hidangan asli negara berkenaan memberi peluang kepadanya untuk belajar tentang pembuatan kimchi.

“Ketika pulang ke Malaysia, saya tidak berhasrat untuk berniaga, namun semuanya bermula ketika sedang mengandungkan anak sulung apabila mengidam untuk menikmati makanan Korea halal, namun sukar mencari bahan dan ramuan untuk membuatnya sendiri.

“Daripada situ, saya mula mencari bahan-bahan utama makanan Korea seperti kimchi dan gochujang, namun tidak menjumpai yang saya yakin halal. Malah, saya bersyukur ketika membuat pencarian, banyak maklumat tentang makanan Korea yang saya temui sehingga mendorong untuk menyediakan ramuan itu sendiri,” jelasnya.

Nur Faizah, yang gemar berkongsi masakan Korea di laman media, mengundang permintaan rakan-rakan untuknya menyediakan dan menjual ramuan berkenaan ekoran ramai yang ingin mencuba.

Hampir lima tahun berkongsi resipi bersama pengikutnya di laman media Facebook, akhirnya tiga tahun lalu wanita itu mula memberanikan diri memasarkan produk sendiri bawah jenama OmmaSon by Faezamer Korean Kitchen.

Bermula dengan pembuatan kimchi, setiap minggu dia perlu menyiapkan lebih 30 kilogram sayur peram berkenaan bagi memenuhi permintaan pelanggan dari serata negeri.

Jelasnya, pada awal pembuatan kimchi, Nur Faizah menggunakan kubis nappa dari China, namun disebabkan mempunyai rasa dan saiz yang berbeza, dia mula beralih arah kepada kubis yang diperoleh dari tanah tinggi Cameron Highland, yang lebih besar dan manis, sama seperti kubis nappa dari Korea.

“Kubis akan dicuci dengan bersih dan ditabur garam laut kasar dan diperam sekurang-kurangnya empat jam, kemudian dibasuh lagi bagi menghilang rasa masin. Selepas itu, kubis digaul dan diperam semula dengan ramuan sehingga sebati.

“Membuat kimchi tidak susah kerana selain kubis, bahan-bahan ramuan seperti bawang putih, lada, epal, batang leek dan buah pear mudah didapati di sini.

“Berbeza untuk membuat pes gochujang, yang mana kami mempunyai masalah kerana cili merah kering di sini sangat berbeza menyebabkan kami perlu mengimport dari Korea,” jelasnya, yang turut menghasilkan kochukaru dan kek beras kerana mendapat banyak permintaan.

Untuk menjual makanan tradisional Melayu pun tidak mudah, apatah lagi mempromosikan makanan tradisional Korea.

Namun, jelas Nur Faizah, perniagaan yang dimulakan hanya untuk suka-suka kini menjadi serius apabila bukan sahaja mendapat permintaan bagi produk bahan mentah, malah makanan siap.

“Saya cuba menyediakan pek makanan dan menghantar kepada pelanggan dan antara menu yang ditawarkan ialah seperti ttaebokki, jjapchae dan bibimbap.

“Paling membanggakan, kami mendapat tempahan dari pejabat Kedutaan Korea di sini, malah mereka sangat terkejut apabila mengetahui masakan itu disediakan oleh orang Melayu,” ujarnya yang dalam proses membuka premis bagi memperluas pasaran makanan Korea halal.